Tuesday, January 30, 2007

Democracy

Democracy will not come
Today, this year
Nor ever
Through compromise and fear.

I have as much right
As the other fellow has
To stand
On my two feet
And own the land.

I tire so of hearing people say,
Let things take their course.
Tomorrow is another day.
I do not need my freedom when I'm dead.
I cannot live on tomorrow's bread.

Freedom
Is a strong seed
Planted
In a great need.

I live here, too.
I want freedom
Just as you.

Langston Hughes

UNIVERSITI BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA?

Wan Abdul Manan Wan Muda
Presiden PKAPUSM

Secara tradisi universiti adalah sebuah institusi untuk pendidikan tinggi yang merupakan sanktuari untuk pengajaran dan pembelajaran, dan itulah fungsi utamanya. Justeru sebuah universiti akan mewujudkan suasana yang menggalakkan perkembangan intelek, cintakan ilmu, kebebasan bersuara dan meningkatkan pengumpulan ilmu menerusi pengalaman dan wacana. Namun universiti zaman kontemporari ini sudah banyak mengalami transformasi, berbanding universiti tradisional yang sering menjadi sebuah nostalgia para penulis terdahulu tentang keunikan menara gading yang kini mustahil bakal berulang. Universiti moden berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu semasa dan tidak lagi merupakan sanktuari para sarjana dan pendita. Universiti kini sudah menyerupai sebuah pasar terbuka untuk pertembongan pelbagai ide, pusat penyelidikan, pusat sukan, tempat mahasiswa menyuarakan ketidakpuasan dengan pemerintah, dan pelbagai lagi aktiviti yang tidak pernah diduga oleh para pelopor zaman lampau.

Peranan universiti terus diperdebatkan oleh perlbagai pihak sehingga kini, namun apa yang nyata kini ialah peranan universiti telah berubah dan lebih mirip dengan gagasan yang diutarakan oleh Clark Kerr pada tahun 1960an dulu, ia itu konsep “multiversity”. Menurut Clark Kerr, sebuah multiversiti merupakan institusi yang peka kepada perubahan semasa, keperluan masyarakat, permintaan awam, dan secara ringkas ia tak ubah seperti sebuah pusat perkhidmatan (service station). Universiti sebagai “service station” ini juga telah menular ke dalam kampus-kampus universiti awam tempatan , terutama sekali apabila semakin banyak universiti didirikan dan semakin banyak kursus dan perkhidmatan yang disediakan. Maka tidak menghairankanlah jika kita dapati di sesetengah kampus aktiviti seperti, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, kadangkala terpaksa dikorbankan untuk memenuhi tuntutan lain yang lebih segera dan semasa pada pandangan golongan yang berpengaruh dalam universiti.

Kebocoran globalizasi kini telah menelanjangkan universiti kontemporari untuk bertanding dalam suasana terbuka dari segi sumber, kemasukan pelajar dan pembiayaan. Universiti terpaksa berlumba di medan yang lebih luas, justeru harus mengembeleng kebolehan untuk berada di barisan hadapan dan sentiasa bersifat kompetitif dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, pengajaran, perkhidmatan, memiliki kecemerlangan akademik dan membina reputasi di peringkat tempatan dan antarabangsa. Maka wujudlah fenomena baru – university ranking – yang mana universiti dinilai dan diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan, dan pada tahap mana mereka berada dalam senarai panjang yang terdiri daripada puluhan ribu universiti di dunia.
Universiti seterusnya akan dilabelkan sebagai universiti golongan “world class” jika mereka telah mencapai tahap kecemerlangan dan memenuhi fungsi mereka berdasarkan indikator prestasi yang telah ditentukan.

Apa itu “World Class University”? Tidak terdapat satu jawapan yang tepat kepada soalan ini, namun, seseorang ahli akademik atau mahasiswa itu bakal tahu apabila mereka menjejak kaki kedalam sesebuah kampus universiti bertaraf dunia. Para mahasiswa yang anda temui, professor yang anda berbicara dengannya, kemudahan yang ada, dan lingkungan sekeliling anda bakal memberi gambaran kepada anda yang anda kini berada dalam sebuah kampus yang bertaraf dunia.

Jika kita terima konsep “world class universities” dan ingin menerimapakai penilaian yang dibuat di peringkat global, maka kita tidak boleh lagi seronok sendiri dan membuat “self proclamation” yang kerap kali melucukan.

Untuk membina sebuah universiti bertaraf dunia memerlukan bukan sekadar infrastruktur fizikal dan bilangan pelajar yang puluhan ribu, tetapi ia lebih tertumpu kepada interaksi antara hubungan jaringan dalaman dan jaringan luar kampus.
Pada pandangan saya terdapat tiga bidang utama yang perlu dibangunkan atau diperkemaskan segera untuk menuju kepada universiti bertaraf dunia, iaitu, penyelidikan, kebebasan akademik dan kepimpinan akademik.

Penyelidikan
Aktiviti dan hasil penyelidikan merupakan produk yang sangat penting bagi sesebuah universiti. Manfaat segera atau jangka panjang penyelidikan berbeza dan bergantung kepada bidang kajian tertentu. Lazimnya hasil penyelidikan diterbitkan dalam pelbagai jurnal dalam bidang masing-masing yang dinilai oleh para pakar dalam bidang tersebut. Dalam konteks ini penyelidikan menyumbang kepada pembinaan ilmu. Pada masa kini terdapat dua tumpuan utama dalam penyelidikan di universiti tempatan ia fenomena yang disebut sebagai penyelidikan berorientasikan penerbitan (publication-oriented research) dan satu lagi fenomena yang lebih berorientasikan hasil (product-oriented research) yang boleh menjana pendapatan kepada universiti dan individu jika produk tersebut dapat dipaten dan dipasarkan. Namun begitu penyelidikan tidaklah harus terhenti diperingkat menerbitkan artikel dalam jurnal semata atau untuk menghasilkan produk kesemuanya seperti bias yang terdapat dalam pemberian geran-geran IRPA, ia perlulah mencakar bidang yang lebih luas termasuk mempengaruhi atau menyumbang kepada penggubalan dasar dalam sesebuah negara.

Seringkali dominasi penyelidikan dalam sesebuah universiti boleh membelakangkan tugas pengajaran, secara ideal penyelidikan dan pengajaran harus saling membantu, antara sifat universiti bertaraf dunia ialah kemampuan mereka mencapai keseimbangan antara pengajaran dan penyelidikan.

Pada masa ini secara umum kita masih jauh ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan, dan kita perlu kerja lebih tekun sebab kita masih di kaki gunung untuk mendaki ke puncak. Kita masih terbelakang dalam banyak bidang, namun begitu, terdapat juga beberapa disiplin yang mana kita sudah setaraf dengan penyelidik utama di peringkat dunia, terutama dalam bidanga sains sosial dan kemanusiaan.

Kebebasan Akademik
Adalah tidak memesongkan jika kita katakan bahawa otonomi universiti merupakan keperluan utama untuk menjadi universiti bertaraf dunia. Otonomi universiti di sini dimaksudkan kepada kebebasan universiti dari campurtangan kerajaan dan lain-lain kumpulan dalam negara dalam usaha universiti membuat keputusan berkait dengan pengurusan dalaman, kewangan, pentadbiran dan menggubalkan dasar pendidikan, penyelidikan, kerja-kerja perkembangan dan lain aktiviti berkaitan. Sejarah telah membuktikan bahawa universiti yang mampu mempertahankan otonomi mereka dari sejak zaman midieval lagi merupakan universiti yang terkedepan dalam bidang penyelidikan dan pengajaran dalam masyarakat mereka. Justeru otonomi akan menggalakkan kebebasan akademik dan dinamisme intelektual yang merupakan ciri utama universiti bertaraf dunia. Kebebasan akademik merupakan nurani sesebuah universiti, ia menyentuh hak dan tanggung jawab para mahasiswa dan pensyarah, ia bakal mewarnai pengajaran dan kesarjanaan. Maka kebebasan akademik tidak boleh dijadikan hanya sebagai sebuah slogan yang enak didengar seperti yang disuarakan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dalam universiti; awas, mereka boleh memesongkan kita. Kebebasan akademik adalah prinsip dan panduan kepada kita dan perlu dikembangkan dan dipertahankan pada setiap masa, terutama pada waktu-waktu kegawatan.

Seringkali kebebasan akademik dimanipulasi oleh golongan berkepentingan dan berlawanan sekali dengan semangat kebebasan akademik yang diutarakan oleh UNESCO atau Deklarasi Lima. Usah terkejut jika anda berhadapan dengan mereka yang beranggapan bahawa kebebasan akademik adalah kebebasan mereka untuk melakukan apa saja dalam universiti tanpa mengambilkira soal tanggung jawab dan akauntibiliti. Dan kita juga tidak kurang bilangan naib canselor atau rector yang mengatakan mereka berada di pihak kebebasan akademik tapi bertindak sebaliknya, malah ada negara yang mana menteri yang berikrar untuk mempertahankan kebebasan akademik sebagai janji politik untuk mendapat populariti dan sokongan golongan para akademik dan mahasiswa.

Dalam masyarakat sivil dan universiti bertaraf dunia para akademik boleh berpartisipasi sebagai warganegara bebas dalam ruang awam atau sebagai pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi pandangan dan komentar. Tetapi dalam negara yang wujud pelbagai sekatan dan peraturan, peranan ahli akademik dipantau dan ditapis dan adakalanya dibungkamkan mereka daripada menyuarakan sebarang keprihatinan yang dianggap bertentangan dengan dasar universiti atau pemerintah. Tambahan lagi mereka yang dilantik menakhodai universiti sebilangan besarnya terdiri dari golongan yang menganuti ideologi sepunya atau penjawat awam yang patuh kepada pihak berkuasa.

Sehingga kebebasan akademik mendapat tempat yang sewajarnya dalam universiti, sumbangan yang bermakna ke arah meningkatkan mutu institusi secara menyeluruh ke peringkat kecemerlangan tidak mungkin tercapai, dan hanya menjadi angan-angan atau mimpi di siang hari para pemahsyurnya sahaja. Menurut Casper, Presiden Stanford University, kenapa Stanford bisa menjadi universiti bertaraf dunia dalam masa yang singkat ialah kerana Stanford University menghargai kebebasan akademik sebagai jiwa universiti tersebut.

Dari segi prognosis tentang keadaan di Malaysia, kebebasan akademik berada pada tahap yang tenat, oleh itu kita perlu perlu memperjuangkannya sehingga sampai sekurang-kurangnya ke tahap minimum yang dikecapi oleh universiti-universiti bertaraf dunia.

Kepimpinan Akademik
Salah satu ciri utama universiti bertaraf dunia ialah “self-governance”, yang mana tadbir-urus dalaman universiti yang memastikan komuniti akademik mempunyai kuasa mengawal fungsi akademik yang utama seperti, kemasukan pelajar, kurikulum, kriteria untuk graduasi, pemilihan pensyarah baru atau kakitangan baru, dan juga halatuju masa depan universiti tersebut. Universiti bukanlah jabatan kerajaan dan bukan juga agensi perniagaan; di jabatan kerajaan semua bahagian berkait yang membina sebuah jaringan atau jika di bidang perrniagaan pula semua bahagian bergantung kepada satu sama lain dan disusun-atur untuk mencapai matlamat utamanya ia itu mencari keuntungan. Tetapi universiti terdiri daripada jabatan atau fakulti yang mempunyai hubungan longgar antara satu sama lain dan mewakili pelbagai disiplin yang berbeza, yang adakalanya berkaitan tetapi bebas antara satu sama lain.

Sebuah universiuti bertaraf dunia memerlukan kepimpinan yang demokratik yang mampu memenuhi dan menampung keperluan pelbagai disiplin dan menyelaraskannya dalam bentuk yang dapat mencapai misi universiti yang telah dipersetujui bersama. Keputusan yang melibatkan hal ehwal akademik mestilah dibuat oleh kakitangan akademik atau badan yang mewakili mereka seperti senat, majlis akademik atau persatuan akademik; manakala keputusan yang melibatkan hal ehwal mahasiswa mestilah diwakili mahasiswa atau persatuan-persatuan mahasiswa. Perlu diingat juga bahawa badan akademik dan badan mahasiswa merupakan komponen-komponen utama yang membina sesebuah universiti, mereka bukanlah kelompok bawahan kepada pentadbir akademik (naib canselor, rector, timbalan naib canselor, dekan,pengerusi rancangan atau ketua jabatan). Anggapan yang salah yang diutarakan oleh ramai para pentadbir akademik yang merasakan universiti adalah milik mereka perlu dicabar dan dikuburkan. Kakitangan akademik dan para profesor bukanlah pekerja, mereka adalah sebahagian daripada universiti, adalah tidak masuk akal untuk memikirkan sebuah universiti tanpa kakitangan akademik atau profesor.

Kecemerlangan akademik banyak sekali bergantung kepada kepimpinan akademik dan siapakah individu-individu yang dilantik dalam strata atasan universiti. Jabatan atau bahagian merupakan unit asas kepada universiti, jadi sangatlah penting untuk menentukan kecemerlangan dan piawaian akademik di peringkat ini. Untuk menjadi jabatan yang bertaraf dunia piawaian yang tinggi perlu ditentukan dan diterima-pakai sekaligus penarafan yang memenuhi norma-norma jabatan terbaik dalam disiplin tersebut di peringkat anatrabangsa. Justeru perlantikan ketua jabatan atau pengerusi, perlulah daripada kalangan mereka yang mempunyai wawasan, iltizam dan kepemimpinan untuk melonjakkan jabatan mereka ke tahap kecermelangan peringkat antarabangsa. Ketua-ketua ini bakal menjadi penjaga pintu gerbang akademik yang akan membantu menyuburkan budaya kecemerlangan dan pada masa yang sama meningkatkan taraf kecemerlangan unit asas di peringkat lantai ini.

Sebaliknya, seperti lazim berlaku atau pernah kita lihat dan alami, melantik seorang yang medioker atau mudah berpuas hati dengan keadaan sedia ada, bukan sahaja bakal membiakkan budaya mediokriti, tetapi beliau akan merasa tergugat oleh kehadiran rakan-rakan akademik yang mempunyai kelulusan akademik dan jayadiri yang cemerlang. Ketua-ketua medioker ini akan cuba mengelakkan daripada menyokong atau membantu golongan yang berkaliber ini, malah mereka akan terus merekrutkan golongan akademik yang mempunyai kelulusan dan kebolehan yang medioker. Akhirnya kita akan terus berada dalam situasi yang mana mediokrasi membiakkan mediokriti dan lambat laung akan wujud kelestarian kitaran yang kelihatan mustahil untuk diperbaiki lagi.
Senario yang sama boleh digunakan diperingkat pusat pengajian atau fakulti, yang mana perlantikan dekan akan menentukan halatuju fakulti tersebut sama ada akan mendaki tangga ke arah fakulti bertaraf dunia atau menuruni longkang kelimpahan mediokriti. Pada peringkat kampus, perlantikan naib canselor atau rector adalah sangat penting untuk mencapai kecemerlangan akademik atau menjejak langkah kearah universiti bertaraf dunia. Di Malaysia, pada peringkat kampus, realiti semasa adalah berdasarkan kepada prinsip “kecemerlangan membiakkan kecemerlangan, dan mediokriti membiakkan mediokriti”, dan keadaan ini bagaikan sudah diacuanbesikan. Para naib canselor dan rector yang kebetulan memang merupakan golongan pentadbir akademik yang mediokratik sudah tentu akan merasa tergugat oleh para dekan atau ketua jabatan atau professor yang berfikiran terbuka, pintar, berdedikasi dan berkaliber. Maka sering kali usaha untuk mempromosikan kecemerlangan akademik dalam sesebuah universiti akan terbantut, terhalang, atau digagalkan oleh naib canselor yang mediokratik yang mendokong dasar yang bertentangan dengan kecemerlangan akademik.

Prognosis kepemimpinan akademik di Malaysia kini menunjukkan suasana yang sakit dan mundur. Pada masa ini kita belum lagi dapat menonjolkan seorang pemimpin yang berkaliber tinggi, berkelulusan cemerlang dan pencari kebenaran yang menerajui universiti awam di Malaysia yang mempunyai potensi untuk menakhodai universiti ke persada universti bertaraf dunia. Kita mungkin ada seorang dua naib canselor yang mempunyai semangat kompetitif dan memiliki sikap yang diperlukan, tetapi pada umumnya universiti tempatan mengalami kegersangan pemimpin dan pemikir cemerlang yang sanggup menganjakkan paradigma dan mencabar status quo. Lebih menyedihkan terdapat pimpinan universiti yang membiarkan universiti mereka diperlekehkan oleh ahli-ahli politik atau orang awam yang bebal tentang peranan universiti.

Kesimpulan
Saya telah membicarakan dengan ringkas tiga bidang yang dirasakan perlu diberi perhatian segera jika kita ingin menuju keaarah universit bertaraf dunia. Walaupun prognosis saya secara umumnya tidak memberangsangkan, tetapi jika kita mempunyai keberanian dan dapat menerobosi halangan-halangan yang disebutkanh di atas, kita mungkin mampu menjadikan aspirasi kita sebagai kenyataan – universiti bertaraf dunia di Malaysia. Kita perlu mampu berfikir disebaliknya dan mencabar pemikiran tidak saintifik dan kaku, sebab berfikir adalah satu-satunya kemampuan yang dimiliki oleh manusia.
.