Thursday, January 1, 2009

LIDAH-Edisi Khas 2008: Perutusan Daripada Presiden


Oleh: Wan Abdul Manan Wan Muda (Presiden PKAPUSM)
Warkah 1:
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada warga USM yang budiman,
Bagi pihak PKAPUSM saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para ahli di atas sokongan yang sdra/i berikan sejak setahun yang lalu. Dan sejak setahun yang lalu juga pelbagai peristiwa telah terjadi yang kadang kala di luar dugaan kita. Namun sebagai golongan terpelajar dan komuniti akademik kita harus berfikir dan bertindak selangkah di hadapan, dan hanya dengan cara itu kita akan menjadi relevan dan menjadi peneraju atau peneroka di bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan juga tindak tanduk harian. Universiti dan para akademik kini menghadapi cabaran yang besar untuk membuktikan bahawa universiti pada hari ini bukan sekadar menara gading yang lesu tetapi sebuah pusat kecemerlangan yang bakal memacu kemajuan dalam semua bidang yang merangkumi sains, teknologi, sosial, politik, budaya dan pembinaan bangsa yang belum selesai.
Sejak tahun lepas sehingga Februari 2008 kita telah mengadakan beberapa perbincangan dan perbincangan di kalangan persatuan-persatuan kakitangan akademik dan juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan isu autonomi universiti, kebebasan akademik, kecemerlangan akademik, penurunan kuasa kepada IPTA, pindaan AUKU, skim perkhidmatan pensyarah dan guru dalam universiti dan pelbagai lagi isu yng mencakupi hal ehwal universiti dan para warganya.
Salah satu kejayaan yang kita capai pada tahun lepas ialah persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi mengiktirafkan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) sebagai badan yang mewakili suara kakitangan akademik IPTA dalam urusan rundingan dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Kita juga telah berjaya mewujudkan persefahaman untuk mengadakan mesyuarat berkala tiga penjuru, yang pertama antara wakil persatuan kakitangan akademik dengan semua pendaftar IPTA dan KPT yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPT, dan satu lagi antara persatuan kakitangan akademik dengan semua naib canselor IPTA yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi. Kedua bentuk mesyuarat tiga penjuru ini diharapkan dapat menyelesaikan banyak masalah secara rundingan yang juga berasaskan perkongsian bijak di antara ketiga-tiga golongan di atas. Namun begitu ini tidak bermakna pihak persatuan kakitangan akademik telah hilang taringnya sebagai pembela golongan akademik dan pentadbir yang tertindas, sekali-kali tidak. Perjuangan kita untuk kebebasan akademik dan hak akademik diteruskan. Malah menerusi forum-forum sedemikian ada kalanya kita dapat mendepankan pandangan dan pendirian kita dengan lebih berkesan dan mendapat timbalbalik segera.
Ketidakpuasan dan rasa tidak berkuasa (powerlessness) akan sentiasa wujud di kalangan warga kita, dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan tidak wujud salahguna kuasa dan suasana yang tidak adil dalam universiti kita. Kita berjuang di peringkat nasional dan juga di peringkat setempat, apabila ramai dari kalangan kita yang berani bersuara dan berani mendedahkan kezaliman dan salah laku maka semakin banyaklah kes-kes sedemikian diketengahkan dan ditonjolkan di peringkat umum untuk dinilai atau dihukum oleh pandangan umum (public opinion). Salah satu tugas utama golongan intelektual yang disarankan oleh Noam Chomsky ialah ” untuk menyuarakan kebenaran dan mendedahkan pembohongan atau kepalsuan (to speak the truth and expose lies.)”, justeru sebagai golongan intelektual dan ilmuwan kita perlu sentiasa berpegang dan mengamalkan kejujuran intektual dan menyuarakan kebenaran dalam apa bentuk sekalipun mengikut kemampuan dan keberanian kita.
Sewaktu saya menulis nukilan ini kita belum lagi tahu siapa yang bakal menjadi Menteri
Pengajian Tinggi, sebab jika kita mendapat menteri yang tidak mempunyai ketokohan dan kewibawaan untuk memimpin, maka kita akan berdepan dengan banyak masalah nantinya. Namun begitu, keputusan pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini telah memberi petanda bahawa golongan muda dan golongan terpelajar lebih berani membuat pilihan dan memberi isyarat bahawa pimpinan baru perlu lebih telus dan mesra rakyat. Oleh itu isu pindaan AUKU bakal menjadi satu isu penting rasanya pada tahun ini. Gejolak politik negara kelihatan menuju ke arah sistem dwi parti, walaupun ramai rakan akademik yang menjadi penganalisis politik di muka tv kebanyakannya masih belum dapat keluar dari kepompong lama mereka.
Pihak USM sekarang telah memulakan penurunan kuasa kepada PTJ masing-masing untuk mengendalikan beberapa kebijakan yang sebelum ini ditentukan oleh pihak pusat. Diharapkan penurunan kuasa ini akan mempercepatkan jentera pentadbiran dan pengurusan dalam universiti. Namun begitu kita harus sentiasa berwaspada supaya tidak berlaku penyelewengan dan salahurus di peringkat PTJ atau kewujudan ”little Napoleans” yang bermaharajalela. Pada masa yang sama pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah menurunkan kuasa juga kepada pihak universiti untuk membuat keputusan sendiri dalam beberapa hal yang sebelum ini diputuskan di peringkat KPT. Keadaan yang wujud ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan pihak persatuan yang sudah begitu lama memperjuangkan autonomi universiti, walaupun kita belum mencapai autonomi yang diidamkan tapi autonomi yang sedikit ini diharap dapat diperluaskan lagi di masa hadapan.
Warkah 2:
Dalam catatan sebelum ini saya ada menyatakan bahawa kita belum pasti siapa bakal menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang baru. Namun, di antara tarikh itu sehingga LIDAH keluaran ini diterbitkan pihak kerajaan telah mengumumkan barisan kabinet baru Malaysia selepas pilihanraya ke 12 baru-baru ini. Menteri Pengajian Tinggi yang baru ialah Dato’ Seri Khaled Nordin, dan pada kesempatan ini pihak PKAPUSM mengucapkan tahniah kepada beliau kerana diberi kepercayaan untuk menerajui sebuah kementerian yang sangat penting ini.
Secara kebetulan pada 18 April 2008 yang lalu, saya, setiausaha PKAPUSM Sdr Ruzita dan Setiausaha Agung GERAK Sdr Abdul Rahman Othman dijemput untuk majlis suaikenal dan dialog dengan Dato’ Seri Khaled Nordin di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya, turut hadir sama adalah wakil persatuan kakitangan akademik IPTA seluruh Malaysia, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha KPT dan pegawai-pegawai Jabatan Pengajian Tinggi (JPT). Saya kira ini adalah permulaan yang baik untuk kita kerana menteri baru ini bersikap agak terbuka dan sedia mendengar pandangan pelbagai pihak serta beliau sendiri menyatakan bahawa beliau sentiasa ingin mendengar pandangan pihak kakitangan dan akan menimbangkannya dengan pandangan naib-naib canselor sebelum sesuatu keputusan dibuat jika ia melibatkan soal kebajikan dan kepentingan kakitangan.
Adalah terlalu awal untuk meramal bentuk atau gaya bagaimana tindak tanduk menteri baru ini dalam menangani isu-isu berkaitan pendidikan tinggi negara dan ke arah mana beliau akan menakhodai perjalanan IPTA kita di masa depan? Saya berharap pimpinan baru ini akan lebih berani dan telus untuk melangkah ke depan demi memartabatkan universiti dan keluhuran akademik. Kecemerlangan perlu sentiasa menjadi kayu ukur untuk peningkatan taraf kita sebagai universiti yang dihormati, justeru ia merangkumi pimpinan universiti yang berkaliber, golongan akademik yang menjunjung kejujuran intelektual, menegakkan kebenaran dan mengenepikan penipuan.
Pada sesi dialog dengan menteri itu kami sempat mengadakan beberapa pembentangan, yang paling utama ialah isu skim perkhidmatan pensyarah dan kakitangan lainnya dalam IPTA dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Sehubungan dengan itu isu pengambilan pensyarah baru yang berkelulusan PhD atau setara kepada gred DS51 bakal diusahakan tidak lama lagi dan menteri telah berjanji tidak akan melengahkan lagi pelaksanaannya. Tetapi sebelum itu golongan yang berada pada gred DS45 dan memiliki PhD juga perlu dinaikkan dahulu ke DS52 secepat mungkin. Isu ini telah diperjuangkan oleh PKAPUSM dan rakan-rakan PKA lain sekian lama, tapi masih belum di implementasikan secara menyeluruh di semua IPTA. Diharapkan hambatan ini akan berakhir dalam masa terdekat.

Edisi Khas LIDAH (Tahun 2008) yang lengkap boleh diperolehi dari pejabat PKAPUSM di Rumah Merah USM.