Sunday, February 4, 2007

KRITIK DAN KRITIKAN

Oleh: Ramli Abdul Samad

Mari kita faham sedikit perihal atau dimensi kepada ciri yang dinamakan kritik. Kritik atau kritikan berada dalam kehidupan kita. Kita tidak akan terlepas daripada kegiatan kritikan. Kritik tetap akan menjadi sebahagian hidup kita selagi kita mengamalkan budaya demokrasi. Budaya demokrasi mengizinkan kita mendengar dan memberi laluan kepada kritikan walaupun ianya tidak disukai. Semasa mesyuarat, perbincangan, forum, seminar, konferensi baik yang formal dan tak formal akan ada lemparan kritik daripada peserta majlis berkenaan. Apa yang kita perhatikan dalam senario itu?
Dalam kritik ada dua perkara yang sering menjadi perhatian, satu isi kritikan itu dan kedua cara penyampaiannya.

Ada kalanya isi kritikan itu benar dan cara disampaikan pun baik. Senario ini memberi rasa terharu kepada para pendengar. Tetapi ada pula jika isi isin kritikan itu benar tetapi cara ia dihuraikan menjadi kurang tepat. Terdapat juga kes di mana isi kritikan itu salah tetapi cara penyampaiannya baik. Paling parah lagi adalah kalau isi kritikan itu salah dan cara diberikan pun tidak baik. Dalam keadaan sebegitu aktiviti kritikan menjadi momok, tidak diberi apa-apa nilai atau hormat. Apapun ada banyak variasi cara kritikan itu disampaikan kepada para pendengar.

Mungkin kita akan bertanya seterusnya, apa makna kritik atau kritikan itu?
Kritik atau kritikan itu jika dilihat sebagai positif, bererti satu input itu diberi untuk memperbaiki diri seseorang. Jika kita melihat dengan kaca mata negatif ia bersifat sebagai sesuatu yang mengancam harga diri seseorang. Terpulang untuk kita mengambil pendirian terhadap kritikan itu. Jika kita bersifat terbuka kita boleh menerima kritikan, sebaliknya jika bersikap tertutup kita tidak akan sukakan kepada kritik walaupun ia boleh membina tanggapan atau sikap kita.

Dengan itu apabila kita bersikap terbuka kita menerima kritikan kerana ia boleh memanfaatkan kita. Kita terbuka dan bersedia untuk menerima kritikan, malahan kita mungkin mencari kritikan untuk memahami mengenai sikap dan pribadi kita. Kritikan itu merupan satu proses penambahbaikan bagi kita meskipun agak sulit untuk menelannya.Tetapi ramaikah di antara kita yang bersikap terbuka? Maknanya jika seseorang itu rela dikritik semata-mata ingin memperbaiki dirinya atau sikapnya terhadap sesuatu tanggungjawab. Manusia jenis ini tidak ramai tetapi tidak pula langka kerana budaya menerima kritikan secara terbuka bukanlah budaya arus perdana kita. Kita lebih rela tidak dikritik kerana kritikan terhadap kita boleh ditafsirkan sebagai satu gambaran betapa kurangnya sifat baik yang kita miliki.

Misalnya kita diberi satu amanah atau tugas yang berat untuk menggendalikan sesebuah organisasi, tetapi kita tidak memiliki atribut dan kompetensi yang memadai untuk melaksanakan demikian, lalu organisasi yang dipimpinnya tidak terserlah. Maka timbul komen dan pelbagai rungutan dari staf organisasi itu dan orang ramai mengenai kepimpinan organisasi itu. Kritikan dituju kepada aspek kepimpinan. Si pemimpin itu harus terbuka dan menilai kepimpinan beliau. Jika benar kritikan yang dilempar itu benar atau kebenarannya dia boleh mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memperbaiki lagi organisasinya, misalnya dia akan mengikuti suatu kursus kepimpinan yang dibuat secocok dengan tuntutan organisasinya. Jika dia masih bersikap bebal maka organisasi yang diterajuinya akan menanggung kemerosotan prestasi.

Sebaik seseorang itu enerima input kritikan, langkah selanjutnya adalah menilai isi kritikan itu dan dengan bersikap objektif dan terbuka buat penilaian. Berdasarkan penilaiain itu dia boleh membuat penilaian diri sendiri secara objektif pula.

Sedia maklum apabila pribadi kita kurang baik, sudah sepatutnya kita berusaha memperbaiki diri. Dalam hal ini kritik atau kritikan boleh dijadikan sebagai titik tolak dalam pengembangan pribadi. Maka dengan kritik kita sedikit sebanyak kita dapat mengetahui sisi yang menjadi kelemahan kita dan kita segera memperbaikinya. Tujuannya kita boleh membentuk pribadi yang lebih baik.

No comments: