Friday, September 5, 2008

USM Universiti APEX - Kenyataan PKAPUSM

4 September 2008 USM di pilih Universiti Apex – Pandangan PKAPUSM

Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran Universiti Sains Malaysia (PKAPUSM) menyambut baik pengiktirafan USM sebagai satu-satunya universiti Apex di Malaysia. Kami juga mengucapkan tahniah kepada keluarga USM kerana telah berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).

USM merupakan universiti kedua tertua di Malaysia, dan akan menyambut ulangtahun ke 40 pada tahun hadapan. Namun perlantikan university Apex in merupakan cabaran yang paling besar untuk USM membuktikan keunggulannya sebagai sebuah universiti bertaraf dunia untuk beberapa tahun akan datang. Tanpa gembelengan tenaga semua warga USM, peningkatan ke taraf dunia mungkin tidak semudah yang dirancangkan.

Menerima pengiktirafan Apex bukanlah menerima sebuah mahkota, tetapi merupakan satu kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk USM memacukan diri dan pendidikan tinggi di Malaysia ke tahapyang lebih tinggi di mata rakyat dan mata dunia. Untuk mencapai universiti bertaraf dunia kami berpendapat, perkara utama yang perlu diwujudkan ialah budaya kecemerlangan dalam universiti, ia merangkumi budaya akademik, budaya penyelidikan danbudaya intelektual yang lebih terbuka. Dalam hal ini kami ingin menggariskan beberapa ciri yang perlu diberi perhatian serius untuk memacu USM ke persada “world class”.

1. Pengajaran dan pembelajaran - peningkatan dari segi kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan meningkatkan tenaga pengajar mahir dan pakar dalam bidang dan berkelulusan terbaik. Kualiti pelajar juga perlu dinilai untuk kemasukan baik diperingkat sarjana muda atau pasca siswazah.

2. Penyelidikan – Walaupun setakat ini bidanag penyelididan di USM bolehlah dibanggakan , tetapi aktiviti penyelidikan perlu ditingkatkan serta merta dalam semua bidang. Penyelidikan berkait rapat dengan pengajian peringkat pasca siswazah dan penambahan bilangan penyelidikan secara langsung akan menambahkan bilangan graduan peringkat sarjana dan kedoktoran serta juga bilangan penerbitan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Namun penumpuan berlebihan terhadap penyelidikan tidak harus membelakangkan tugas pengajaran, secara ideal penyelidikan dan pengajaran saling membantu. Antara sifat yang dimiliki oleh universiti bertaraf dunia ialah kemampuan mereka mencapai keseimbangan antara pengajaran dan penyelidikan.

3. Kebebasan Akademik dan Otonomi Universiti – Otonomi universiti bermaksud kebebasan universiti daripada campurtangan pemerintah atau lain kumpulan dalam negara dalam usaha USM membuat keputusan berkaitan dengan pengurusan dalaman, kewangan, pentadbiran dan menggubalkan dasar pendidikan, penyelidikan, kerja-kerja perkembangan dan aktiviti lain yang berkaitan. Sejarah telah menunjukkan bahawa otonomi universiti merupakan satu ciri utama universiti bertaraf dunia.
Kebebasan akademik menyentuh hak dan tanggungjawab para mahasiswa dan pensyarah dan ia bakal mewarnai pengajaran dan kesarjanaan. Kebebasan akademik merujuk kepada kebebasan ahli komuniti akademik secara individu ataupun kolektif menimba ilmu, mengembangkannya dan menyebarkannya menerusi penyelidikan, pengajian, perbincangan, dokumentasi, pengeluaran, penciptaan, pengajaran, kuliah dan penulisan. Kebebasan akademik adalah prinsip dan panduan kepada golongan akademik dan perlu diperkembangkan serta dipertahankan setiap masa.
Sehingga kebebasan akademik mendapat tempat yang sewajarnya dalam universiti, sumbangan yang bermakns ke arah memacukan mutu institusi secara menyeluruh ke peringkat kecemerlangan tidak mungkin tercapai. Dalam hal ini USM perlu meneguhkan kebebasan akademik dan otonomi universiti menerusi keluwesan yang merupakan ciri-ciri yang dijanjikan kepada universiti Apex.

4. Kepimpinan Akademik – Salah satu ciri utama universiti bertaraf dunia ialah urus tadbir sendiri (self-governance), yang bermaksud komuniti akademik mempunyai kuasa mengawal fungsi akademik yang utama seperti kemasukan pelajar, kurikulum, criteria untuk pengijazahan, pemilihan pensyarah baru atau kakitangan baru, dan hala tuju msa depan universiti. Perlu ditegaskan bahawa universiti bukanlah sebuah jabatan kerajaan, dan juga bukan sebuah agensi perniagaan.
Universiti yang cemerlang memerlukan kepimpinan yang demokratik serta mampu memenuhi dan menampung keperluan pelbagai disiplin dengan baik. Kepimpinan akademik memainkan peranan yang sangat penting untuk menentukan sama ada universiti bakal melonjak ke atas atau menerjun ke bawah pada skala penarafan peringkat dunia.

PKAPUSM berpendapat semua golongan dalam kampus perlu menghayati taraf Apex yang ingin dilaksanakan. Golongan akademik merupakan golongan yang utama untuk memastikan sama ada Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan ini menjadi realiti. Justeru beberapa perubahan perlu difikirkan, selain dari apa yang di senaraikan di atas, perkara-perkara berkaitan sekim perkhidmatan kakitangan juga perlu dikaji. Di bawah penurunan kuasa atau otonomi universiti, USM seharusnya mampu menarik para akademik dan penyelidik yang berkaliber dari seluruh dunia, suasana keantarabangsaan merupakan salah satu ciri kecemerlangan akademik. Kakitangan yang sedia ada dan telah terbukti khidmat dan jasa mereka kepada USM juga perlu diberi pengiktirafan.

Bila kita berbicara tentang universiti bertaraf dunia ia bukan saja soal menghasil seramai mungkin para saintis, teknologis, jurutera, doktor atau golongan teknokrat, tetapi kita juga perlu melahirkan para pemikir. Universiti kita sangat kekurangan para pemikir, apa tah lagi dalam masyarakat umum.


Wan Abdul Manan Wan Muda
Presiden PKAPUSM

1 comment:

aquaregia said...

kenapa msti pilih yg result dgn pngk 3.0 dan >? dont u think berlaku diskriminasi di situ?